Denggi

Apa itu Demam Denggi?
Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama
kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam
denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca
utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa
oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.
Bagaimanakah penyakit ini merebak?
Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara
rantau tropika. Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus
denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi
menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur
pesakit.
Pemindahan penyakit:
·
Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes
yang membawa virus denggi.
·
Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 - 12
hari selepas menghisap darah manusia (perumah).
·
Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus
tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui
ovari).
·
Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun
terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet
boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum
dijangkiti.
·
Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat
menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat
dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.
Bagaimana cara untuk mencegah denggi?
1. Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk :
Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat
makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk pada kulit yang terdedah
apabila perlu. Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini
boleh melindungi dari gigitan nyamuk. Pasangkan jaring nyamuk dan skrin pada
tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.
2. Elakkan dari membuat lawatan ke kawasan berisiko tinggi di waktu siang :
Jalan terbaik ialah mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan
bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam.
Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.
3. Musnahkan tempat pembiakan nyamuk :
Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan
nyamuk. Nyamuk Aedes membiak dalam tempat-tempat takungan air seperti tayar
buruk dan bekas menyimpan air. Anda juga perlu selalu menukar air dalam pasu
bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak.
Comments
Post a Comment